Friday 3 July 2009

Sekilas Tentang Perumahan Taman Sri Baung


Gambar di atas bukanlah gambar daripada Perumahan Taman Sri Baung. Ianya diambil sewaktu saya belajar di Australia berpuluh-puluh tahun dahulu. Saya sekarang sudah jauh montel bukannya seperti di dalam gambar tersebut.
Sebelum saya menulis catatan di blog ini, adalah baik saya beritahu bahawa catatan yang akan saya paparkan di sini bukan berkisar di perumahan Taman Sri Baung, tidak sama sekali.
Saya menulis catatan dari PT645 Taman Sri Baung, sebagai tajuk blog saya adalah kerana setiap "posting" yang akan saya terbitkan pada laman blog ini yang sebenarnya dilakukan iatu dilaksanakan dari rumah iaitu kediaman saya yang bernombor PT645, di lokasi Taman Sri Baung, lantaran saya menggunakan Komputer Peribadi meja tulis adalah tidak mungkin iaitu agak sukar untuk saya memindahkan komputer saya ini, jadi di rumah inilah nampaknya saya akan menerbitkan sebarang catatan untuk blog-blog saya.
Memandangkan tajuk catatan ini adalah sekilas tentang Perumahan Taman Sri Baung, maka saya akan menceritakan serba sedikit dari pandangan saya, yang saya rasa mungkin pandangan itu akan lebih cenderung kepada kepentingan peribadi saya walaupun saya tidak berhasrat pun untuk melakukan demikian. Cumakan saya menyebutkannya di sini, takut-takut, andainya perkara ini berlaku ini menandakan kelemahan sifat manusia saya, bukannya saya sengajakan.
Perumahan saya ini siap dibina pada Tahun 2002, dengan Fasa yang pertama di mana kesemua penghuninya(maksud saya tuan punya sebenar{owner} rumah berkenaan, bukannya penyewa{tenants}) adalah kaum bumiputera Melayu. Jumlah unit, rumah pada Fasa pertama tersebut adalah lebihkurang 100 buah. Jalanraya bertar dalam kediaman kami yang disiapkan oleh pemaju untuk kesemua penghuni adalah sangat lebar, jadi ianya selesa. Hinggakan lorong di antara barisan, deretan rumah-rumah pada sebelah belakang, iatu dapur menghadap dapur adalah juga lebar, hinggakan lori pun boleh melaluinya.
Untuk pengetahuan, banyak rumah di Taman ini ditanami dengan pokok mangga, yang mana, di negeri Pantai Timur Kelantan ini, mungkin ramai yang sudah mengetahuinya, pokok mangga adalah lebih dikenali dengan nama pokok pauh.
Kedudukan perumahan ini adalah strategik kerana tidak begitu jauh dari pekan Kota Bharu, hanya sekitar 5 kilometer. Dan sekiranya bergantung kepada perkhidmatan awam boleh menggunakan dua laluan bas yang kedua-duanya berdestinasi ke Kota Bharu. Sungguh pun begitu, kesabaran haruslah ada sekiranya menggunakan perkhidmatan awam, kerana kadang-kadang jangkamasa menunggu itu begitu menuntut kesabaran. Saya pernah menunggu hampir sejam untuk mendapatkan khidmat pengangkutan awam, walaupun kadang-kadang pada masa yang lain pula, masa menunggunya hanya sekadar lima minit. Saya tidak mempunyai atau menggunakan kenderaan sendiri kerana sebab-sebab yang tertentu.
Disebabkan kedudukannya yang strategik itulah, rumah di taman ini tidak pernah kosong, maksud saya tanpa berpenghuni, sentiasa dicari-cari oleh bakal-bakal penyewa. Apabila seseorang penyewa itu keluar, akan adalah pula penyewa yang akan memasuki rumah yang ditinggalkan itu sebaik beliau melangkah keluar daripada rumah itu. Dengan itu tuan rumah di Taman ini, biasanya tidak runsing dengan masalah penyewa yang keluar iaitu berhenti menduduki rumah mereka lantaran mencari pengganti kepada penyewa yang keluar bukanlah masalah besar.

No comments:

Post a Comment